Catatan Popular...^_`

Translate To Understand...^_^

Jumaat, 20 Mei 2011

ULAMA 'MENJAGA JUBAH'...



KISAH IBN TAIMIYYAH, RAJA TATAR DAN ULAMA 'MENJAGA JUBAH'

IBN Taimiyyah (661-728H) atau dikenali dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah merupakan cahaya indah yang menghiasi sejarah para ulama gemilang.

Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.

Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan.

Selepas itu Raja Qazan menjamu yang hadir dengan hidangan. Kesemuanya makan dengan lazat. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan.
Lalu Raja Tatar bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”
Jawab Ibn Taimiyyah: “Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orang ramai!”.
Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.
Kata Ibn Taimiyyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.

Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka.
Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”
Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.

Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”
Jawab: “Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi”
(Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).


_____________________________________________________________


Saya memetik cerita ini bagi menggambarkan kadangkala betapa ramai yang memakai gelaran agama seperti ulama, syeikh, mufti dan seumpamanya yang mementing jubah agar tidak kotor atau tercemar lebih daripada mementingkan tanggungjawab sebagai ilmuwan Islam untuk menegakkan kebenaran kerana Allah.

Jika Ibn Taimiyyah tidak makan kerana mengenangkan nilai makanan yang dijamu, sementara ramai ulama lain yang ‘sebat semacam’ dalam kegawatan pertarungan yang seperti itu, apakah ulama di zaman keresahan rakyat miskin disebabkan kenaikan harga barang, akan mencontohi sikap Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, atau akan tiru macam ulama-ulama dalam majlis Qazan lalu mereka juga akan ‘sebat semacam’ jamuan mewah yang melampaui batas menggunakan harta rakyat?

Saya menulis tajuk ini bertujuan mengingatkan diri sendiri, bukan orang lain. Ia boleh dibaca sebagai iktibar.


Fikir-fikirkanlah...

"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."
Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manafa'at kepada manusia lain.

***Sumber Dari : Dr. Mohd Asri - Bicara Buat Pemimpin Dan Rakyat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan