Catatan Popular...^_`

Translate To Understand...^_^

Jumaat, 22 Oktober 2010

SAHABAT...^_~


Langit tak selalu cerah, Cinta tak selalu indah...

“aku tidak pandai berterus terang, dan kau lemah dalam mentafsir..”

Hati lain-lain walau hakikatnya rambut sama hitam. Dia fikir lain, aku fikir lain. Walau kadangkala ada persamaan yang ketara, tetap juga gigi tergigit lidah. Padahal bukankah gigi dan lidah berada di tempat yang sama, bagai belangkas tidak terpisah. Sama juga ragam manusia. Persahabatan tidak selamanya kukuh, adakalanya diuji dan teruji. Kita tetap berbeza, walau ada persamaan. Hati manusia, siapa tahu?

Kadangkala niat bergurau, mungkin tanpa sedar hatinya terguris. Kadangkala dalam menegur, siapa tahu hatinya terlalu rapuh? Kadangkala dalam berbicara, ketegasan kita mungkin membuatkan hati tersinggung? Oh, manusia ternyata memang berbeza walau kita fikir “aku” dan “dia” sefikrah!

Yang pasti, hati pernah terguris. Pernah melukai dan dilukai. Kita tetap manusia biasa, punya salah tanpa sedar. Ada khilaf. Belajar untuk memberi dan menerima, maka hati pasti akan terubat. Bermuhasabah seketika, maka hati akan tenang. Manusia dicipta Allah punya sikap dan tingkahlaku berbeza. Inilah uniknya ciptaan Allah. Sikap diri, mungkin kurang disenangi. Tingkahlaku dia mungkin kurang disukai. Namun, dengan menyedari bahawa itu keunikan, kelebihan dan kekurangan manusia, maka tanpa sedar perlahan-lahan kita akan menerimanya dengan hati terbuka. Menerimanya dengan hati rela, kerana secara semulajadinya, itu sikap dan keunikan. Menghargai seikhlasnya sikap dan perbuatannya selagi tidak bertentangan dengan syar’ie. Sungguh, indahnya memberi pada masa yang sama menerima!

Andai sama-sama memberi dan menerima, kurangkan suuzzhon, elakkan prasangka, pastinya kegemilangan ISLAM akan tertegak.

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”–(Al-Hujurat: 12)

Lenturkan ego, sebarkan salam. Elakkan permusuhan, jauhkan hasad dengki. Bergeraklah bersama, majukan ummah! Laksana Muhajirin dan Ansor yang hati mereka disatukan. Allah melembutkan hati-hati mereka, hingga jadilah mereka orang yang bertaqwa dan beriman.

Kekuatanmu, kekuatanku.
Kemenanganmu, kemenanganku.
Perjuanganmu, perjuanganku.
Tuhanmu, Tuhanku.
Aku menyayangimu kerana Allah.


Dan orang-orang yang datang sesudah mereka Mujahirin dan Ansar), mereka berdoa,

“Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engka Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.”–(Al-Hasyr: 10)

Salam Rindu, Kasih dan Sayang. Wallahhua’lam.